Monday, December 17, 2012

Syariah Dalam Tamadun Islam


Istilah Syariah

Dari segi bahasa,perkataan ini berasal dari perkataan Arab “Syari’at”.Ianya membawa erti ‘pembawaan yang jelas'. Pengertian ini bukan sahaja dipakai dalam bahasa Arab tetapi juga dalam Al-Quran itu sendiri.

Dari segi istilah, Ia membawa erti apa saja  sistem dan cara hidup. sama ada sistem yang diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi dan rasulnya atau yang diciptakan oleh manusia. Bagi mengkhususkan terus kepada sistem dan cara hidup islam, kita perlu menyebutnya syariat Muhammad atau syariat Islam supaya ianya lebih spesifik. Syariat juga membawa maksud mengatur dan menyusun undang-undang yang berhubung dengan hukum-hukum perbuatan orang makallaf, masalah-masalah serta peristiwa-peristiwa yang terjadi kepada golongan ini.


Ciri-ciri Syariah

Syariah islam mempunyai beberapa ciri yang membezakannya dengan hukum-hukum lain, misalnya hukum yang diciptakan manusia. Antara ciri-ciri tersebut ialah :
  • Syariah Islam adalah berteraskan wahyu. Syariah Islam diterangkan, difahami sama ada secara langsung atau ijtihad, berdasarkan Al-quran dan As-sunnah. Setiap ahli ijtihad terikat kepada kedua-dua nas Al-quran dan As-sunnah selagi terdapat bukti yang jelas tentang persoalan yang berkenaan.
  • Syariah Islam berteraskan kesedaran beragama dan berakhlak. Hukum Islam tidak pernah memisahkan antara nilai-nilai undang-undang dengan nilai-niali agama didalam ketentuannya. Wujudnya konsep halal haram didalam kehidupan umat Islam adalah satu kenyataan yang jelas dalam konsep ini.


Bilakah hukum Syariat Islam terasas

Asas-asas hukum syariat Islam terasas pada saat wahyu diturunkan pada nabi kita Muhammad SAW. Asas pembinaan hukum ini juga telah tamat apabila wafatnya baginda. Apabila wafatnya baginda rasulullah SAW maka segala hukum telah pun sempurna dan tersedia untuk dipraktikkan oleh semua umat baginda tak kira masa. Apabila zaman berubah mengikut peredaran masa, sifat dan kehendak manusia juga akan berubah. Hukum Islam yang diturunkan oleh Allah SWT adalah satu hukum yang fleksibil, Maka akan berlaku penambahan dalam hukum Islam berdasarkan asas yang telah disediakan dan tidak bercanggah dengannya.

Sumber hukum Syariat Islam

Sumber hukum syariat Islam boleh dibahagikan kepada dua iaitu berdasarkan Al-quran dan berdasarkan As-sunnah.Selepas kewafatan Rasulullah SAW telah lahir pelbagai sumber lain sebagai sumber hukum syariat Islam iaitu Qiyas, Maslahah, Istihsan dan lain-lain. Pada zahirnya, Al-quran dan As-sunnah itu ialah pokok pangkal kepada segala hukum syariat Islam. Dari sinilah lahir dan berkembangnya hukum syariat Islam samada langsung atau tidak langsung mengikut keperluan semasa.

Al-quran
Al-quran ialah kalam Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan disampaikan kepada kita secara mutawatir ,baik melalui mulut ataupun tulisan. Antara jenis-jenis hukum dalam Al-quran ialah hukum mengenai akidah,hukum Islam mengenai akhlak,hukum ibadat dan persoalan mengenai cara hidup.

As-sunnah
Dalam istilah ulama Islam, yang dinamakan As-sunnah ialah segala yang diriwayatkan daripada Rasululah SAW sama ada berupa kata-kata, perbuatan mahupun pengakuan. Keterangan daripada Baginda. Keterangan daripada As-sunah terbahagi kepada 3 bentuk iaitu sunnah Qauliyah iaitu kata-kata Rasulullah, sunnah Fikliyyah iaitu segala perbuatan Rasululah dan sunnah Taqririyyah iaitu segala pengakuan Rasululah.

Ijtihad
Sumber hukum ini lahir selepas zaman kewafatan Rasulullah SAW tetapi pada zahirnya hukum ini telah diamalkan oleh Rasululah sendiri pada zamannya apabila wahyu tidak diturunkan apabila berlaku sesuatu peristiwa. Pada zaman sekarang , Ijtihad diambil sebagai hukum apabila tiada lagi sumber hukum yang boleh dirujuk berdasarkan masalah yang timbul.

Perundangan Islam pada zaman Rasulullah SAW

Zaman pemerintahan Rasulullah SAW boleh dikatakan agak pendek iaitu selama 22 tahun. Zaman ini telah menjadi contoh yang menunjukkan beberapa sumber dan dalil-dalil yang lain yang dijadikan sandaran yang boleh dijadikan sebagai sumber untuk mengetahui perkara-perkara yang belum ada ketentuan hukumnya. Zaman Rasulullah ini pula terbahagi kepada dua:-

Zaman rasululah berada di Mekah

Zaman Rasulullah berada di Mekah ialah selama 12 tahun sehingga berlakunya hijrah. Didalam peringkat ini, orang Islam masih merupakan satu golongan yang kecil dan lemah. Mereka belum lagi merupakan satu bangsa dan belum lagi mempunyai urusan-urusan sebuah negara. Dalam peringkat ini, wahyu-wahyu menumpukan kepada hal-hal mentauhidkan Allah SWT, keimanan pada para rasul, para malikat, kebangkitan semula sesudah mati, perhitungan amalan, hari akhirat dan sebagainya. Oleh sebab itu didalam surah-surah yang diturunkan di mekah seperti surah Yunus, Al-Ra’du, Al- Furqan, Yasin dan Al-Hadid tidak terdapat satu ayat pun yang berhubung dengan hukum-hukum amalan.

Zaman rasulullah berhijrah ke Madinah

Peringkat Rasululah berada di Madinah ialah selama 10 tahun mulai dari tarikh perpindahan hingga ke tarikh kewafatan baginda. Di peringkat ini, Islam telah berkembang dengan pesat, bilangan pemeluk agama Islam telah ramai sehingga merupakan satu bangsa yang menjalankan urusan pemerintahan negara. Wahyu-wahyu yang diturunkan pada zaman ini telah mencakupi semua bidang hidup samada akidah, akhlak, sosial, politik, ekonomi dan sebagainya. Dalam hal ini, satu peraturan diperlukan untuk mentadbir negara Islam ini. Undang-undang Syariah Islam yang pertama telah diperkenalkan oleh nabi Muhammad SAW dikenali sebagai piagam Madinah untuk mentadbir negara Islam Madinah.

Piagam Madinah

Unsur-unsur utama yang terdapat dalam pembinaan Piagam Madinah terbahagi kepada dua iaitu :-
  • Piagam yang tertulis adalah mengatur hubungan antara sesama kaum Muslimin, antara orang-orang Muhajirin yang datang dari kota Mekah dan orang-orang Ansar yang menjadi penduduk asli kota Mekah
  • Piagam itu adalah perjanjian antara kaum Muslimin dengan kaum Yahudi,yang memberi perlindungan kepada orang-orang Yahudi dan agama mereka.

Ada dua kaedah yang digunakan dalam pembinaan hukum Islam. Kedua-duanya ialah menyelesaikan persoalan yang dihadapi dan memberi ketentuan hukum terhadap sesuatu yang belum terjadi. Antara intipati kaedah ini ialah menyelesaikan persoalan yang telah dihadapi. Berdasarkan kaedah ini sesuatu hukum itu hanya akan diterangkan oleh wahyu sesudah ada kes atau pertanyaan mengenainya. Apabila berlaku sesuatu kes yang belum ada hukum mengenainya atau timbul sesuatu persoalan di kalangan umat Islam, Nabi SAW akan menunggu kedatangan wahyu yang akan menerangkan hukum dan menjawab persoalan berkenaan. Biasanya wahyu akan datang dengan segera samada dalam bentuk ayat Alquran ataupun dalam bentuk hadis. Tetapi jikalau tiada wahyu yang diturunkan, Nabi SAW akan berijtihad dan memberikan hukum sementara yang nantinya akan diputuskan oleh wahyu, samada ianya tepat atau tidak.

Perundangan Islam pada zaman sahabat

Zaman sahabat bermula selepas kewafatan Rasulullah SAW pada tahun 11 hijrah dan berakhir pada abad pertama hijrah. Pada zaman ini kuasa perundangan dipegang oleh sahabat-sahabat Rasulullah dan merupakan zaman pentafsiran nas-nas hukum yang terdapat didalam Al-quran dan hadis. Sahabat-sahabat juga banyak mengeluarkan fatwa berhubung dengan hukum-hukum yang belum ada nasnya, yang mana fatwa-fatwa ini menjadi asas ijtihad dan istinbat pada masa sekarang.
Pada zaman ini ramai orang Islam tidak memahami hukum-hukum Islam yang digunakan dan apabila timbul masalah baru, mereka tidak tahu dimana untuk merujuk dan mendapatkan hukum baru kerana kewafatan Rasulullah. Atas sebab inilah para sahabat merasakan mereka berkewajipan menerangkan kepada umat Islam tentang hukum-hukum Islam dan menyelesaikan masalah hukum-hukum baru. Dalam hal ini sistem Syura digunakan untuk memilih sahabat yang akan menerajui tampuk pemerintahan dan menggantikan Rasulullah sebagai tempat orang Islam bertanya. Mereka menjadi tempat umat Islam menaruh kepercayaan kepada penjelasan dan fatwa-fatwa yang dikeluarkan mereka.
Antara sahabat-sahabat yang terkenal sebagai ahli fatwa ialah Zaid b. Thabit, Ubai b. Ka’ab, Adullah b Umar,  Aisyah,  Abdullah b Abbas, Ali b Abi Talib, Abdullah b Masoud, Anas b Malik, Abu Musa Al-Asyaari, Mu’az b Jabal,Ubbadah b Al-Samit, Abdullah b Amru.Bilangan sahabat yang terkenal memberi fatwa dan menjadi sandaran orang ramai ialah seramai seratus tiga puluh orang lebih termasuk lelaki dan perempuan, tetapi yang terkenal ialah sahabat yang telah disebutkan tadi. semua ijtihad yang dilakukan oleh sahabat-sahabat ini dilakukan beramai-ramai untuk mencapai kesepakatan. Pada zaman ini juga berlaku perubahan pada sumber-sumber hukum Islam:

Sumber hukum Islam yang pertama
Pada zaman ini berlaku perubahan pada hukum Islam yang pertama iaitu Al-quran yang kekal sehingga sekarang iaitu Al-quran dibukukan dengan pemerhatian para sahabat.Dengan tersiarnya Al-quran maka mudahlah kepada orang-orang Islam dimana-mana tempat untuk menghafaz dan mengetahui nas-nas hukum tanpa berlaku apa-apa perselisihan antara mereka.

Sumber hukum Islam yang kedua
Pernah timbul beberapa pendapat daripada para sahabat untuk membukukan hadis-hadis Rasulullah tetapi ini tidak dilakukan kerana dibimbangi boleh membawa kesamaran diantara hadis dan Al-quran.Tetapi para sahabat amat mengambil berat dalam menjaga kesucian hadis-hadis. dan sangat teliti dalam meneliti hadis-hadis. Pada akhirnya ,akibat tidak dibukukan hadis-hadis ini, orang-orang tidak sebulat pegangan mereka kepada satu himpunan hadis sebagai mana sebulatnya pegangan mereka kepada Al-Quran. Akhirnya timbul berbagai perdebatan tentang kesahihan hadis sebagai sumber perundangan.

Sumber perundangan yang ketiga
Ijtihad-ijtihad sahabat yang bertugas sebagai ahli fatwa tidak juga dituliskan pada masa itu walau sedikitpun. Penilaian kepada fatwa mereka tidak lebih daripada buah fikiran peribadi dan yang benar itu datang daripada Allah dan yang buruk itu datang daripada diri sendiri. Seringkali sahabat bercanggah pendapat kerana banyak berlaku peristiwa yang memerlukan fatwa baru.
Terdapat berbagai kesan hasil daripada perundangan pada zaman para sahabat. Kesan-kesan ini membawa kepada lahirnya satu sistem undang-undang yang sistematik dan menjadi contoh teladan kepada generasi seterusnya. Antara kesan-kesanya ialah :
Pentafsiran secara undang-undang dan hukum dilakukan oleh para sahabat. pentafsiran ini dianggap sebagai pentafsiran yang muktamad. ini penting dalam memastikan tiada percanggahan pendapat di kalangan umat Islam.
Berbagai fatwa baru dikeluarkan oleh sahabat dalam menangani masalah yang banyak timbul. Fatwa-fatwa ini penting sebagai rujukan kepada umat Islam seterusnya kerana banyak perkara yang berlaku pada zaman pemerintahan para sahabat.
Banyak mazhab yang lahir selepas zaman para sahabat Mazhab ini lahir hasil daripada percanggahan pendapat antara para Fuqaha dalam teori menafsirkan hukum.

Kesimpulan

Al-quran telah menghuraikan konsep keadilan didalam beberapa ayat yang diantaranya membawa pengertian Al-quran mewajibkan setiap manusia di dalam segala urusannya terutama di kalangan pemerintah yang berkuasa.Apabila mereka menjalankan sesuatu pemerintahan dan memutuskan sesuatu hukuman itu hendaklah seadil yang mungkin.Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT didalam ayat terjemahan: “Jika kamu menghukum diantara manusia, hendaklah kamu menghukum seadil-adilnya.” Surah An-Nisa’ 4:58. Apabila membincangkan keadilan didalam syariah Islam, beberapa perkara penting perlu dihuraikan untuk melihat keadilan. Prinsip syariah Islam itu sendiri melambangkan keadilan iaitu terdapat 4 prinsip utama :
  1. Syariah Islam berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan kesusahan dan memberikan kesenangan kepada umat manusia untuk mematuhi syariah Allah SWT. segala sesuatu yang diperundangkan, sememangnya dapat dilaksanakan oleh manusia. hal ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam terjemahan: “Allah tidak membuat untuk kamu kesukaran didalam agama kamu” Surah Al-Haj, 22:78. Kesenangan syariah Islam dapat dilihat didalam semua perundangan. Misalnya Allah SWT menggugurkan taklif keatas manusia daripada melakukan fardhu ain ketika uzur.
  2. Syariah Islam cuba sedaya upaya mengurangkan hukuman agar tidak menjadi beban kepada manusia. Allah SWT hanya mengharamkan sesuatu yang merosakkan akidah,syarak dan akhlak, akal, tubuh badan, keturunan dan harta benda. Sebaliknya semua yang baik dihalalkan oleh Allah SWT.Firman Allah SWT: “Mengapa kamu tidak mahu makan binatang yang halal yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, Pada hal Allah telah menjelaskan kepada kamu apa-apa yang diharamkan kepada kamu” Surah Al-An’am, 6:119
  3. Syariah Islam juga memperundangkan sesuatu dan perlaksanaanya secara beransur-ansur ,tidak sekaligus. Hal ini adalah bertitik tolak daripada kadar keupayaan manusia yang berada didalam keadaan lemah yang tidak pasti melaksanakan segala hukuman sekaligus.
  4. Keadilan syariah Islam kemudiannya dapat dilihat dengan kewujudan kesamarataan didalam mentaklifkan segala fardhu ain. setiap manusia tidak mengira pangkat dan keturunan diwajibkan melakukan titah perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangannya. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW didalam terjemahan: “Tidak ada keutamaan bagi orang Arab dan orang Ajam dan tidak ada keutamaan bagi orang hitam dengan orang arab melainkan taqwa”
(sumber: http://ctu551.blogspot.com/)

No comments:

Post a Comment