Wednesday, December 5, 2012

Muhamad Abdul Wahab


(Dibawah tajuk: تراجم لبعض علماء هذا الدور) 

Muhamad Abdul Wahab (الإمام محمد بن عبد الوهاب) 

Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab (1115 - 1206 H/1701 - 1793 M) merupakan pengasas ajaran wahhabi. Nama lengkapnya Syeikh Al-Islam Al-Imam Muhammad bin `Abdul Wahab Bin Sulaiman bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Rasyid bin Barid bin Muhammad bin Al-Masyarif At-Tamimi Al-Hambali An-Najdi.

Syeikh Muhammad dilahirkan pada tahun 1115 H (1701 M) di kampung `Uyainah, (Najd), lebih kurang 70 km arah barat laut Riyadh, yang sekarang menjadi ibu kota Arab Saudi. Beliau meninggal dunia pada 29 Syawal 1206 H dalam usia 92 tahun, setelah mengabdikan diri selama lebih 46 tahun sebagai Menteri Penerangan Kerajaan Arab Saudi.

Kehidupan dan pendidikan awal

Syeikh Muhammad dibesarkan dalam keluarga terpelajar dalam Bani Tamim yang bermazhab Hanbali. Ayahnya ketua jabatan agama setempat sementara datuknya pula qadi (mufti besar) bagi masyarakat Najd menanyakan permasalahan agama. Dilahirkan dalam keluarga ulama', Syeikh Muhammad dididik dengan pendidikan agama oleh ayahnya. Sejak kecil lagi, Syeikh Muhammad sudah menampakkan kecerdasannya. Beliau tidak suka membuang masa dengan sia-sia. Berkat bimbingan keluarganya dan kecerdasan otak serta kerajinannya, Syeikh Muhammad berjaya menghafal Al-Qur’an sebelum berusia 10 tahun. Beliau diserahkan kepada para ulama setempat untuk mendalami Islam sebelum berkelana untuk belajar ke luar daerah.

Belajar di Makkah, Madinah dan Basrah

Setelah dewasa, Syeikh Muhammad diajak oleh ayahnya ke Mekah untuk mengerjakan haji. Selesai menunaikan haji, ayahnya terus pulang sementara Syaikh Muhammad terus tinggal di Mekah selama beberapa waktu sebelum berpindah ke Madinah untuk melanjutkan pengajiannya di sana.

Di Madinah, beliau berguru dengan dua orang ulama besar iaitu Syeikh Abdullah bin Ibrahim bin Saif An-Najdi dan Syeikh Muhammad Hayah Al-Sindi. Selama berada di Madinah, beliau sangat prihatin menyaksikan ramai umat Islam tempatan maupun pelawat dari luar kota Madinah yang melakukan perbuatan kesyirikan yang tidak sepatutnya dilakukan. Antaranya menziarahi maqam Nabi mahupun maqam lain untuk memohon syafa'at dan meminta hajat. Apa yang disaksikannya itu menurut Syeikh Muhammad sangat bertentangan dengan Islam.

Kesemua inilah yang mendorong Syeikh Muhammad untuk lebih mendalami pengkajiannya tentang ilmu tauhid dan aqidah salafiyah. Beliau berjanji pada dirinya sendiri, bahawa pada suatu ketika nanti, beliau akan mengadakan perbaikan (islah) dan pembaharuan (tajdid) dalam masalah yang berkaitan dengan ketauhidan, iaitu mengembalikan aqidah umat kepada sebersih-bersihnya tauhid yang jauh dari khurafat, tahyul dan bid’ah. Untuk itu, beliau mesti mendalami benar-benar tentang aqidah ini melalui kitab-kitab hasil karya ulama' besar di abad-abad yang silam.

Di antara karya-karya ulama' terdahulu yang paling terkesan dalam jiwanya adalah karya Ibnu Taimiyah. Besarnya pengaruh Ibnu Taimiyah dalam jiwanya sehinggakan Syeikh Muhammad dilihat sebagai salinan Ibnu Taimiyah khususnya dalam aspek ketauhidan.

Setelah beberapa lama menetap di Mekah dan Madinah, beliau berpindah ke Basrah. Di sana, beliau bermukim lebih lama sehingga banyak ilmu-ilmu yang diperolehinya, terutaman di bidang hadith dan musthalahnya, fiqh dan ushul fiqhnya, gramatika (ilmu qawa’id) dan lughatnya.

Dakwah dan rintangan

Syeikh Muhammad mula berdakwah di Basrah, tempat di mana beliau bermukim untuk menuntut ilmu ketika itu. Akan tetapi dakwahnya di sana kurang bersinar, kerana menemui banyak rintangan dan halangan dari kalangan para ulama tempatan. Di antara pendukung dakwahnya di Basrah ialah seorang ulama yang bernama Syeikh Muhammad al-Majmu’i. Tetapi mereka mendapat tekanan dan ancaman daripada sebahagian ulama dan diancam akan dibunuh yang menyebabkan beliau meninggalkan Basrah dan mengembara ke beberapa negeri Islam.

Setelah menjelajahi beberapa negeri islam, beliau kembali ke al-ihsa menemui gurunya Syeikh Abdullah bin `Abd Latif al-Ihsai untuk mendalami beberapa bidang pengajian tertentu yang selama ini belum sempat didalaminya. Di sana beliau bermukim untuk beberapa waktu, sebelum kembali ke kampung asalnya ‘Uyainah. Tidak lama selepas itu beliau mengikut orang tuanya ke Haryamla, suatu tempat di daerah Uyainah pada tahun 1139H kerana dikatakan terdapat perselisihan pendapat dengan pihak berkuasa Uyainah.

Syeikh Muhammad berpindah ke Uyainah pada tahun 1140H, dan tinggal bersama ayahnya untuk mengembangkan ilmu dan mengajar serta berdakwah selama lebih kurang 13 tahun lamanya, sehinggalah ayahnya meninggal dunia di sana pada tahun 1153. Setelah 13 tahun menegakkan amar ma’ruf dan nahi mungkar di Haryamla, beliau mengajak pihak penguasa setempat untuk bertindak tegas terhadap gerombolan penjahat yang selalu melakukan kerusuhan, merampas, merampok serta melakukan pembunuhan. Maka gerombolan tersebut tidak senang kepada Syeikh Muhammad, lalu mereka mengancam hendak membunuhnya. Syeikh Muhammad terpaksa meninggalkan Haryamla, dan kembali ke Uyainah.

Wafatnya

Muhammad Bin `Abdul Wahab Telah Menghabiskan Waktunya Selama 48 Tahun Lebih Di Dar’iyah. Keseluruhan Hidupnya Diisi Dengan Kegiatan Menulis, Mengajar, Berdakwah Dan Berjihad Serta Mengabdi Sebagai Menteri Penerangan Kerajaan Saudi Di Tanah Arab. Dan Allah Telah Memanjangkan Umurnya Sampai 92 Tahun, Sehingga Beliau Dapat Menyaksikan Sendiri Kejayaan Dakwah Dan Kesetiaan Pendukung-Pendukungnya. Semuanya Itu Adalah Berkat Pertolongan Allah Dan Berkat Dakwah Dan Jihadnya Yang Gigih Dan Tidak Kenal Menyerah Waktu Itu.

Kemudian, Setelah Puas Melihat Hasil Kemenangannya Di Seluruh Negeri Dar’iyah Dan Sekitarnya, Dengan Hati Yang Tenang, Perasaan Yang Lega, Muhammad Bin `Abdul Wahab Menghadap Tuhannya. Beliau Kembali Ke Rahmatullah Pada Tanggal 29 Syawal 1206 H, Bersamaan Dengan Tahun 1793 M, Dalam Usia 92 Tahun. Jenazahnya Dikebumikan Di Dar’iyah (Najd). Semoga Allah Melapangkan Kuburnya, Dan Menerima Segala Amal Solehnya Serta Mendapatkan Tempat Yang Layak Di Sisi Allah SWT. Amin.


(sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Muhamad_Abdul_Wahab)

No comments:

Post a Comment