Tuesday, May 14, 2013

Al-Asyairah


Al-Asyairah (الأشَاعِرَة)
(merujuk kepada perbahasan kitab kuliah Tauhid (muka surat 209)

pecahan mazhab dalam islam al asyairah mazhab imam syafie imam hambali imam malik imam hanafi

IMAM ABU HASSAN AL-ASY’ARI

Pengasas aliran Asya’irah (Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah) ialah Imam Ali bin Ismail bin Ishak bin Salim bin Abdullah Musa bin Bilal bin Bardah bin Abu Musa al-Asy’ari. Beliau lebih dikenali sebagai Imam Abu Hassan al-Asy’ari. Beliau juga merupakan cucu kepada salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W. iaitu Saidina Abu Musa al-Asy’ari RA. Beliau dilahirkan pada tahun 260 Hijrah di Basrah dan wafat pada 337 Hijrah. Ini bermakna beliau berkesempatan untuk hidup sebagai golongan Salaf al-Soleh sekitar tahun 300 Hijrah yang merupakan sebaik-baik generasi.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Sebaik-baik manusia ialah (kaum Muslimin yang hidup) pada kurunku, kemudian diikuti oleh kurun yang sepelas mereka kemudian diikuti oleh kurun yang selepas mereka.

(Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ahmad).

Imam Abu Hassan al-Asyari keluar dari fahaman Muktazillah setelah guru beliau pada ketika itu iaitu Imam al-Juba’iy tidak dapat menjawab persoalan yang ditanyakannya berkaitan perbuatan Allah Taala. Selepas keluar dari Muktazillah, beliau merupakan penentang kuat fahaman Muktazillah dengan menggunakan hujjah-hujjah akal tanpa mengetepikan al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W sebagai sandaran utama. Beliau juga memperbahaskan manhaj Ilmu Kalam dengan disaduri dalil-dalil maksum untuk menyucikan Islam dari sebarang fahaman yang menyesatkan.

Imam Abu Hassan al-Asyaari terkenal dengan teori al-Kasbu (usaha) di dalam membincangkan kudrat Allah Taala dan perbuatan manusia, iaitu pandangannya adalah pertengahan di antara golongan Jabariyyah dengan Muktazillah. Golongan Muktazillah berpandangan bahawa manusia yang menciptakan perbuatannya sendiri. Golongan Jabariyyah pula berpendapat bahawa manusia tidak mempunyai kuasa untuk mencipta perbuatan apatah lagi berusaha untuk melakukan sesuatu. Manakala Imam Abu Hassan al-Asyaari berpandangan bahawa manusia tidak mempunyai kuasa untuk mencipta perbuatannya akan tetapi berkuasa untuk berusaha.

KETOKOHAN DAN KEHEBATAN IMAM ABU HASSAN AL-ASY’ARI

Kehebatan serta jasa beliau terhadap Islam khusunya Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah tidak perlulah dipertikaikan lagi sehinggakan para ulama Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah keempat-empat mazhab fiqh masing-masing mendakwa bahawa Imam Abu Hassan al-Asy’ari adalah pengikut mazhab mereka (lihat kitab: Al-Firaq al-Islamiyyah fi al-Islamiyyah). Jadi, tidak hairanlah begitu banyak para ulama berpegang dengan aliran Asya’irah berbanding aliran lain. Di antara para ulama muktabar terdahulu yang bermanhaj Asya’irah ialah: Imam al-Baqilani, Imam al-Baghdadi, Imam al-Haramain, Imam al-Ghazali, Imam Fakhrulrazi al-Razi, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, Imam al-Nawawi, Syeikh al-Islam Ibnu Hajar al-Haitami, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansori dan ramai lagi.

Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah menjelaskan dan mempertahankan aliran Asya’irah di dalam kitabnya Majmuk al-Fatawa dengan katanya:

Manakala sesiapa yang melaknat ulama-ulama Asya’irah maka si pelaknat itu hendaklah dihukum ta’zir dan kembali laknat itu kepada sesiapa yang melaknat Asya’irah. Juga sesiapa yang melaknat orang yang bukan ahli untuk dilaknat maka dialah yang perlu dilaknat. Para ulama adalah golongan pembela ilmu-ilmu agama. Sementara golongan Asya’irah adalah pembela usuluddin (asas-asas dan tunjang Islam).

ASYA’IRAH PEGANGAN MAJORITI UMAT ISLAM

Kata-kata Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah ini telah dikuatkan lagi dengan perakuan Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi yang telah mengiktiraf aliran Asya’irah sebagai aliran terbaik serta paling ramai pengikutnya (sila rujuk: www.islamonline.net). Beliau (Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi) menambah lagi:

Bukan Universiti al-Azhar satu-satunya sahaja Asya’irah. Bahkan ummah Islam seluruhnya (majoriti) juga adalah Asya’irah. Universiti Al-Azhar adalah Asya’irah. Az-Zaituniyyah adalah Asya’irah. Ad-Deoubandi (India) adalah Asya’irah. Nadwah al-Ulama adalah Asya’irah. Sekolah-sekolah di Pakistan juga adalah Asya’irah. Seluruh Dunia Islam adalah Asya’irah.

Bukan setakat Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah dan Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi sahaja mempertahankan Asya’irah, bahkan Syeikh Prof. Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti turut sama memperakui Asya’irah (kitab: Ahl al-Sunnah al-Asya’irah):

Sesungguhnya Imam al-Asy’ari tidak bidaah pandangannya bahkan beliau tidak menubuhkan mazhab baru. Sebaliknya beliau hanyalah meneruskan serta menyusun garis panduan yang telah ditunjukkan Salaf al-Soleh. Usaha ini demi mempertahankan kebenaran yang pada waktu itu sudah mula penyebaran fahaman yang meninggalkan as-Sunnah Rasulullah S.A.W. Jasa beliau diiktiraf oleh barisan ulama tafsir, hadis dan fiqh yang hidup sezaman dengannya. Barangsiapa mengingkari ketokohan Imam al-Asy’ari yang telah diiktiraf oleh imam-imam Salaf al-Soleh maka hakikatnya mereka telah mengingkari Salaf al-Soleh. Berdusta terhadap kenyataan bahawa mereka kononnya cintakan Salaf al-Soleh.

http://buluh.iluvislam.com

No comments:

Post a Comment