Saturday, May 4, 2013

Hukum bersuci

DOWNLOAD PDF: HUKUM BERSUCI

الفِقْهُ الْمَنْهَجِيْ
KITAB FIKAH MAZHAB SYAFIE

Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbani

Cetakan Khas

Penerbit dan diedarkan oleh:
PERSEKUTUAN MELAYU REPUBLIK ARAB MESIR

PUSTAKA SALAM SDN BHD

Cetakan Mei 2008

Jilid 1 dan 2
Bersuci, sembahyang, zakat , puasa, haji dan umrah



Hukum bersuci

Erti bersuci
Bersuci pada bahasa ialah bersih dan terhindar daripada segala kekotoran sama ada dalam bentuk hissiah iaitu yang boleh dirasa seperti najis atau ma’anawiyyah seperti perkara yang mengaibkan, atau sifat-sifat keji.

Bersuci mengikut istilah syara
Bersuci mengikut istilah syara ialah perbuatan yang apabila dilakukan akan mengharuskan sembahyang didirikan atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan hukum sembahyang , seperti berwudhuk kepada sesiapa yang tidak berada dalam keadaan berwudhuk, mandi kepada sesiapa yang diwajibkan mandi dan menghilangkan najis daripada pakaian, badan dan tempat.

Islam mengambil berat kebersihan dan bersuci
Islam sangat mengambil berat terhadap bersuci dan kebersihan. Ia dapat dilihat sebagaimana berikut:

1. Perintah berwudhuk beberapa kali setiap hari untuk mendirikan sembahyang. Firman Allah Taala:
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak melaksanakan salat, maka basuhlah wajahmu dan tanganmu sampai ke siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kedua kakimu sampai ke kedua mata kami. (Al-Maidah: 6)
2. Dorongan atau gesaan supaya mandi pada keadaan tertentu. Firman Allah Taala:
Jika kamu dalam junub maka mandilah. (Al-Maidah: 6)
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Rasulullah saw:
Tanggungjawab setiap Muslim kepada Allah ialah mandi satu hari dalam seminggu dengan membasuh kepala dan badannya sekali.

3. Perintah supaya memotong kuku, membersih gigi dan pakaian. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Rasulullah saw:
Lima perkara daripada fitrah: berkhatan (bersunat), mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Rasulullah saw:
Sekiranya tidak membebankan ke atas umatku, nescaya aku akan perintahkan mereka supaya bersugi setiap kali sembahyang.

Menurut riwayat Imam Ahmad di akhir hadis disebut: ketika setiap kali berwudhuk.

Firman Allah Taala yang bermaksud:
Dan bersihkanlah pakaianmu. (Muddathir: 4)

Abu Daud meriwayatkan sabda Nabi saw kepada para sahabatnya:

Sesungguhnya kamu akan berjumpa saudara-saudara kamu, maka perelokkanlah bekalan kamu dan pakaian-pakaian kamu sehingga kamu menjadi tahi lalat dikalangan manusia. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada perkataan dan perbuatan yang keji dan keterlaluan dalam perkataan dan perbuatan.

Maksud bekalan (rihal) ialah semua barang yang diperlukan untuk perjalanan seperti bekas-bekas dan lain-lain yang diletakkan di atas belakang unta atau binatang tunggangan.

Maksud menjadi tahi lalat dikalangan manusia ialah menonjol dan berbeza dengan orang lain. 

Firman Allah Taala yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah menyukai kepada orang yang bertaubat dan menyukai kepada orang yang menyucikan diri. (Al-Baqarah: 222)

Sesungguhnya Islam juga telah menjadikan bersuci itu separuh daripada iman. Sabda Rasulullah saw:

Bersuci itu adalah separuh daripada iman (Hadis riwayat Muslim).

Hikmat Disyariatkan bersuci
Islam mensyariatkan bersuci kerana terdapat hikmat yang banyak, antaranya: 

1. Bersuci adalah satu tuntutan fitrah. Fitrah manusia cenderung kepada kebersihan dan secara semulajadi dia tidak suka dan menjauhkan diri daripada kejijikkan dan kekotoran.

Oleh kerana Islam adalah agama fitrah, maka secara semulajadi ia memerintah (manusia) supaya bersuci dan menjaga kebersihan.

2. Menjaga kemuliaan dan izzah (kehebatan dan kemegahan). Manusia secara semulajadi cenderung kepada seseorang yang bersih, suka berhimpun dan duduk bersamanya. Pada waktu yang sama mereka bencikan kepada seorang yang pengotor, menghina dan menjauhkan diri serta tidak suka duduk bersamanya.

Oleh kerana Islam adalah agama yang sangat mengambil berat dalam menjaga kemuliaan seseorang yang beriman (mukmin) dan kehebatannya, maka Islam memerintah supaya seseorang mukmin itu menjaga kebersihan agar menjadi orang yang mulia dan disegani di kalangan saudara-saudaranya. 

3. Menjaga kesihatan. Kebersihan adalah antara factor yang amat penting untuk menjaga manusia daripada penyakit. Ini kerana kebanyakkan penyakit yang merebak/menular di kalangan manusia adalah disebabkan kekotoran.

Oleh itu membersihkan badan, membasuh muka, dua tangan, hidung dan dua kaki (anggota-anggota yang sentiasa terdedah kepada kekotoran) beberapa kali setiap hari, menjadikan badan sentiasa terpelihara daripada penyakit.

4. Berdiri di hadapan Allah dalam keadaan suci dan bersih. Ini kerana dalam sembahyang, manusia bercakap dengan Tuhannya dan bermunajat kepada-Nya. Oleh itu selayak dan sepatutnya dia berada dalam keadaan suci zahir dan batin, bersih hati dan juga badannya kerana Allah Taala kasih kepada orang yang suka bertaubat dan sentiasas bersih.

Air yang boleh dibuat bersuci
Air yang boleh dibuat bersuci ialah air hujan, air laut, air perigi, air sungai, air mata air dan air salji.

Semua air ini tergolong dalam dua kategori: air yang turun dari langit dan air yang terbit atau terpancar dari bumi. Firman Allah Taala:
Dan Kami turunkan dari langit air yang sangat bersih.
(al-Furqan: 48)

Firman Allah Taala yang bermaksud:
Dan Allah menurunkan air (hujan) dari langit kepadamu untuk menyucikan kamu dengan (hujan) itu. (Al-Anfal: 11)

Abu Daud, At-Tirmidzi, An-Nasai’e, Ibnu Majah dan Imam Ahmad bin Hambal (At-Tirmidzi berkata: hadis hasan sahih) meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra katanya:

Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah saw katanya: Wahai Rasulullah, kami telah belayar di lautan, dan kami membawa bersama-sama kami air yang sedikit; sekiranya kami berwudhuk dengannya, kami akan dahaga, apakah boleh kami berwudhuk dengan air laut? Rasulullah saw menjawab: airnya suci dan halal bangkai di dalamnya.

Maksud halal bangkai di dalamnya ialah semua yang mati di dalamnya seperti ikan dan seumpamanya boleh dimakan tanpa disembelih.

DOWNLOAD PDF: HUKUM BERSUCI

No comments:

Post a Comment