Saturday, May 4, 2013

Bahagian-Bahagian Air

DOWNLOAD PDF: BAHAGIAN-BAHAGIAN AIR

الفِقْهُ الْمَنْهَجِيْ
KITAB FIKAH MAZHAB SYAFIE

Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbani

Cetakan Khas

Penerbit dan diedarkan oleh:
PERSEKUTUAN MELAYU REPUBLIK ARAB MESIR

PUSTAKA SALAM SDN BHD

Cetakan Mei 2008

Jilid 1 dan 2
Bersuci, sembahyang, zakat , puasa, haji dan umrah


Bahagian-Bahagian Air

Air terbahagi kepada empat bahagian:
1. Suci lagi menyucikan 
2. Suci lagi menyucikan tetapi makruh
3. Suci tetapi tidak menyucikan
4. Bernajis

1. Air yang Suci lagi Menyucikan (الطاهر المطهر)
Air yang suci lagi menyucikan ialah air mutlak yang kekal dengan sifat kejadiannya yang telah dijadikannya oleh Allah Taala. Air tersebut masih dikatakan air mutlak, walaupun ia sudah berubah dengan sebab lama ditinggal, atau disebabkan tanah, atau tuhlub (sejenis benda hijau yang terapung di atas air disebabkan lama tinggal didalamnya – kiambang), atau bekas atau tempat mengalir seperti ia berada dalam tanah yang mempunyai belerang atau ia mengalirdi atas tanah tersebut, semua ini tetap dikatakan air mutlak. Ini kerana air tersebut sukar untuk dielakkan daripada perkara-perkara tersebut.

Dalil yang menunjukkan kesucian air mutlak ialah hadis riwayat Al-Bukhari dan lainnya daripada Abi Hurairah ra katanya:
Seorang badwi telah berdiri lalu kencing dalam masjid. Kemudian para sahabat pergi untuk menghalangnya, lalu Rasulullah saw bersabda: biarkan dia, dan tuangkan di atas air kencingnya sebaldi air, sesungguhnya kamu dibangkitkan untuk mempermudahkan dan bukan menyusahkan.

Perintah Rasulullah saw supaya menuangkan air ke tempat air kencing tersebut adalah dalil yang menunjukkan bahawa air tersebut mempunyai ciri atau sifat menyucikan.

2. Air yang Suci dan Menyucikan tetapi Hukumnya Makruh (الماء الطاهر المكروه)
Air yang suci dan menyucikan tetapi hukumnya makruh ialah air musyammas. Ia adalah air yang panas disebabkan cahaya matahari dan dihukum makruh apabila memenuhi tiga syarat berikut:

i. (أن يكون ببلاد حارة)
Ia berlaku di negeri yang panas 

ii. (أن يكون موضوعا في أوان منطبعة غير الذهب والفضة مثل الحديد والنحاس وكل معدن قابل للطرق)
Ia diletakkan di dalam bekas yang ditempa daripada selain emas dan perak seperti besi, tembaga dan semua galian yang boleh ditempa (berkarat)

iii. (أن يكون استعماله في البدن لآدمي ولو ميتا أو حيوانا يلحقه البرص كالخيل)
Ia digunakan pada badan manusia walaupun badan mayat, atau pada haiwan yang boleh menyebabkannya ditimpa penyakit sopak seperti kuda.

Imam Syafi’e ra meriwayatkan daripada Umar ra:
Bahawa beliau (Umar) tidak suka mandi dengan air tersebut dan dia berkata: aku tidak suka mandi dengan air tersebut disebabkan masalah kesihatan, kemudian Imam Syafi’e meriwayatkan bahawa air tersebut boleh menyebabkan penyakit sopak.

Ini kerana ketajaman cahaya matahari boleh menimbulkan keadaan berlemin (benda yang seperti minyak) busuk yang terapung di atas air. Sekiranya ia terkena pada badan dalam keadaan air tersebut panas, maka ia boleh memudaratkan badan dan menyebabkan penyakit sopak (sejenis penyakit kulit).

3. Air yang Suci tetapi Tidak Menyucikan (الماء الطاهر غير المطهر)
Air yang suci tetapi tidak menyucikan terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama: air yang sedikit yang telah digunakan untuk taharah yang wajib, seperti mandi wajib dan wudhuk.
Dalil ia suci adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim daripada Jabir bin Abdullah ra katanya:
Rasulullah saw datang menziarahiku untuk bertanyakan keadaanku. Ketika itu aku sakit dan tidak sedar. Lalu baginda berwudhuk dan mencurahkan air wudhuknya ke atasku.

Sekiranya air wudhuk tersebut tidak suci, nescaya baginda tidak akan mencurahkannya ke atas Jabir.
Dalil ia tidak menyucikan ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abi Hurairah ra bahawa Nabi saw bersabda:
Janganlah seseorang kamu mandi dalam air yang bertakung iaitu air tenang yang tidak bergerak, sedangkan dia berjunub. Lalu para sahabat bertanya kepada Abi Hurairah: wahai Abu Hurairah, bagaimana ia hendak dilakukan (mandi dengan air tersebut)? Jawab Abu Hurairah: ia menyelam dalamnya dengan satu selaman (sekaligus).

Hukum berwudhuk adalah sama dengan hokum mandi kerana kedua-duanya mengandungi maknanya yang sama iaitu mengangkat hadas.
Hadis ini menunjukkan bahawa mandi dalam air tersebut menjadikan ia tidak menyucikan lagi. Sekiranya ia tidak memberi makna tersebut, nescaya Rasulullah saw tidak melarang daripada berbuat demikian. Hadis ini difahami untuk air yang sedikit berdasarkan dalil-dalil yang lain.

Kedua: air mutlak yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang kebiasaannya air tersebut tidak berhajat kepadanya dan ia tidak boleh dipisahkan setelah bercampur, kemudian ia berubah dengan suatu perubahan yang tidak lagi dipanggil dengan air mutlak, seperti air the dan air ‘arqasus.
Tetapi jika benda suci yang bercampur dengan air tersebut menyerupai air pada sifat-sifatnya (rasa, baud an warna) seperti air bunga mawar yang sudah hilang sifat-sifatnya, maka ketika itu; air bunga mawar hendaklah diganti dengan bahan lain yang mempunyai sifat berlainan yang sederhana; iaitu digunakan perahan delima untuk menentukan perubahan rasa, perahan tebu bagi menentukan perubahan warna dan al-lazan bagi menentukan perubahan bau. Sekiranya ditakdirkan berlaku perubahan disebabkan percampuran tersebut, maka ia menjadi air yang suci tetapi tidak menyucikan lagi. Ia tidak menyucikan kerana ketika itu ia tidak lagi dinamakan sebagai air mutlak. Sedangkan syarak mensyaratkan supaya air yang dibuat bersuci adalah air mutlak.

4. Air Mutanajjis (الماء المتنجس)
Air mutanajjis ialah air yang terjatuh najis ke dalamnya. Ia terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama: air yang sedikit iaitu kurang dari dua kolah.
Air ini menjadi najis dengan hanya terjatuh najis ke dalamnya walaupun sedikit dan tidak berubah sifat-sifatnya dari segi warna, bau dan rasa. 
Ukuran dua kolah ialah: 500 kati Baghdadi air dan ia menyamai 192.875kg. ia juga menyamai 1 ¼ hasta empat persegi tinggi, lebar dan dalam.
Abu Daud, At-Tirmizi, An-Nasaie, Ibnu Majah dan Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar ra katanya: aku mendengar Rasulullah saw ditanya tentang air yang terdapat di padang pasir yang luas dan didatangi oleh binatang buas dan haiwan melata. Baginda saw menjawab:
Jika air tersebut sebanyak dua kolah ia tidak menanggung kekotoran.
Menurut lafaz hadis disisi Abu Daud:
Maka air itu tidak menjadi najis

Difahami daripada hadis ini, sekiranya air kurang dari dua kolah, maka ia menjadi najis sekalipun tidak berubah sifat-sifatnya. Kefahaman ini dikuatkan oleh hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah ra bahawa Nabi saw bersabda:
Apabila seseorang kamu bangun dari tidurnya, maka janganlah dia mnyelamkan (menyelup) tangannya dalam sesuatu bekas, sehinggalah dia membasuh tangannya dahulu sebanyak tiga kali. Sesungguhnya dia tidak mengetahui di manakah tangannya bermalam (diletakkan).
Dalam hadis tersebut Rasulullah saw melarang orang yang bangun dari tidur mencelupkan tangannya ke dalam bekas air kerana dibimbangi tangannya dicemari najis yang tidak kelihatan. Sudah sedia maklum bahawa najis yang tidak kelihatan tidak akan mengubah (keadaan) air. Oleh itu, sekiranya tindakan tersebut tidak menajiskan air disebabkan menyentuhnya, nescaya Rasulullah saw tidak melarang daripada berbuat demikian.

Kedua: air yang banyak iaitu air yang sampai dua kolah atau lebih.
Air ini tidak menjadi najis dengan hanya semata-mata terjatuh atau tersentuh najis tetapi ia menjadi najis apabila berubah salah satu sifatnya iaitu warna, rasa dan bau.
Dalilnya ialah ijmak para ulama.
Imam Nawawi ra menyebut dalam kitabnya Al-Majmuk:
Ibnu Munzir berkata: ulama telah bersepakat bahawa air yang sedikit atau banyak, apabila jatuh ke dalamnya najis dan berubah rasa atau warna atau bau, maka air itu menjadi najis.

Air yang boleh digunakan untuk bersuci
Bukan kesemua jenis air ini boleh dibuat bersuci iaitu mengangkat hadas (kecil atau besar) dan menghilangkan najis. Air yang boleh dibuat bersuci hanyalah dari jenis yang pertama (air mutlak) dan kedua (air musyammas) sahaja. Tetapi air yang kedua ini makruh digunakan pada badan.
Manakala air jenis yang ketiga, ia tidak boleh digunakan untuk bersuci sekalipun ia sendiri adalah suci. Ia hanya boleh digunakan untuk tujuan selain bersuci seperti minum, memasak dan lain-lain.
Air jenis yang keempat pula, ia adalah air yang najis. Ia tidak boleh digunakan untuk apa-apa kegunaanpun.


DOWNLOAD PDF: BAHAGIAN-BAHAGIAN AIR

No comments:

Post a Comment