Sunday, August 4, 2013

PERJALANAN MENUJU FIKAH

Sedutan dari buku: Fikah itu memang best
Pengarang: Arieff Salleh Rosman, Wardah Mokhtar
Tahun: 2006
Penerbit: PTS Millenia Sdn Bhd

Muka Surat 19, Bab 3, Tajuk: Perjalanan Menuju Fikah

Adakah kita tahu perbezaan antara syariat Islam dan fikah Islam? Kita biasa mendengar orang menyebut, 'Ini syariat Islam'. Ada pula orang lain sebut, 'Ini hukum fikah'. Kita pun kadangkala bingung. Apa itu syariat dan apa pula fikah.

Dr. Yusuf Qardhawi di dalam buku Panduan Memahami Syariat Islam menjelaskan, "Yang dimaksudkan dengan syariat itu ialah hukum-hakam yang digubal oleh Allah yang ditetapkan dengan dalil Quran dan sunah serta cabangnya, sama ada kesepakatan para ulama (ijmak) atau analogi (qiyas) serta dalil-dalil lain. Syariat lebih jelas maksudnya sebagai segala sesuatu yang ditetapkan Allah kepada hambanya berupa agama iaitu Islam."

Fikah pula bermaksud ilmu yang berkaitan dengan menyimpulkan hukum syarak yang berupa amali. Ia dikeluarkan daripada dalil-dalil yang terperinci. Imam Jurjani menjelaskan, "Fikah ialah suatu ilmu yang disimpulkan oleh pendapat seorang pakar (ulama) melalui penelitian dan penyelidikan."

Oleh itu, jelaslah syariat itu bersifat umum. Ia mencakupi hukum-hukum yang berkaitan akidah, fikah dan akhlak. Manakala fikah pula bersifat khusus iaitu termasuk dalam maksud syariat. Kita juga dapat katakan fikah itu adalah cara kita melaksanakan syariat. Mentaati Tuhan, kita perlu ikut syariat. Bagaimana mahu ikut syariat? Perlulah ikut hukum yang ada dalam fikah!

Terdapat masalah yang perlu kita fahami bersama. Ada orang kata, syariat itu ialah hukum tuhan yang ditetapkan di dalam Quran dan sunah. Manakala, fikah pula hukum yang dicipta oleh akal manusia. Apabila manusia membaca ayat-ayat Quran ataupun hadis nabi yang berkaitan dengan amali kehidupan, manusia pun memikirkan hukum yang dia fahami. Itulah fikah. Jadi, mereka berkata, syariat itu berasal daripada tuhan sedangkan fikah adalah ilmu buatan manusia.

Mana betul! Ini adalah salah faham. Sebenarnya, fikah adalah salah satu disiplin ilmu syariat. Sama seperti akidah dan akhlak. Fikah termasuk dalam kategori ilmu yang bersandarkan pada wahyu ilahi. Walaupun dalam ilmu fikah, para pakar (ulama) menggunakan akalnya bagi memahami ayat-ayat Quran dan hadis nabi, tetapi mereka tidak boleh membuat sesuka hati. Mereka tidak boleh menggunakan akal semata-mata. Akal mereka perlu digunakan dalam batasan yang diizinkan oleh tuhan.